ULASAN BUKU: Minda Syariah Kewangan Islam Oleh Dr Mohd Daud Bakar
Oleh: Mohd Izwanuddin Abd Rahim
Saya telah lama bercadang untuk menulis ulasan tentang buku ini namun hanya berkesempatan pada saat ini. Buku ini saya habiskan bacaannya dalam masa 2 hari saja. Buku ini wajar dibaca sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Alhamdulillah, saya berpeluang untuk menimba ilmu secara langsung dari penulis buku ini. Walaupun buku ini banyak memberi fokus kepada kewangan islam, namun banyak isu lain yang turut disentuh di dalamnya.
Saya sertakan salah satu isu menarik yang dinyatakan dalam buku ini. Antaranya tentang masalah pemilik tanah yang mengandungi tumbuh-tumbuhan yang menuntut bayaran dari pemilik lebah. Kes ini adalah kes klasik di zaman silam.
Permasalahannya begini. Pada zaman itu, ada pemilik tanah yang menganggap bahawa mereka berhak untuk menuntut bayaran kepada pemilik lebah yang memakan debunga di kawasan tanah milik mereka. Ini kerana debunga itu dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan milik pemilik tanah. Ini menimbulkan persoalan sama ada debunga itu termasuk dalam hak milik awam atau hak milik pemilik tumbuhan itu.
Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah ( wafat 241 H ) dalam salah satu pandangannya berpendapat bahawa harta di atas tanah merangkumi tumbuh-tumbuhan di atasnya. Jadi tumbuh-tumbuhan tidak boleh dianggap sebagai hak milik awam. Dengan kata lain, debunga juga termasuk dalam hak milik persendirian pemilik tanah. Walau bagaimanapun, dalam pandangannya yang lain, tumbuh-tumbuhan tidak termasuk kepada tanah tersebut dan dengan demikian ia adalah hak milik awam.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ( wafat 728 H ) menyokong pandangan yang kedua. Alasannya, terdapat hadith yang menyatakan bahawa semua orang Islam berhak ke atas air, rumput , dan api. Kemudian hal ini turut diluaskan maknanya kepada debunga. Oleh sebab debunga tidak tergolong dalam kumpulan rumput, maka kaedah qias al-aula digunakan. Jika penggunaan rumput kepada semua pihak adalah dibolehkan, maka lebih utama lagi bagi debunga. Tambahan pula, debunga itu hanya mampu dimanfaatkan oleh lebah.
Jika pemilik lebah memanfaatkan debunga itu, hak milik pemilik tanah ke atas tumbuh-tumbuhan itu tidak terjejas sama sekali. Dalam kes ini, disebabkan hanya lebah yang mampu memanfaatkan debunga itu, maka hujah bahawa debunga adalah hak milik awam adalah lebih kuat. Jika lebah tidak memanfaatkannya, tidak ada pihak lain yang boleh memanfaatkannya. Oleh sebab itu, pemilik tanah tidak berhak untuk menuntut bayaran dari pemilik lebah. Demikianlah salah satu contoh klasik aplikasi syariah dalam konteks zaman silam. Perbincangan tentang isu ini boleh diikuti di halaman 91-93.
Banyak lagi isu menarik yang dibahaskan dalam buku ini.
Bagi saya, ada 5 sebab mengapa buku ini perlu dibaca :
1. Buku ini memenangi anugerah ‘ Islamic Finance Book Of The Year ‘ dalam Majlis Global Islamic Finance Award ( GIFA ) 2016. Ini menunjukkan bahawa buku ini sangat berkualiti.
2. Syarikat Amanie Advisor yang dikendalikan oleh penulis buku ini turut memenangi anugerah Best Syariah Advisory Firm 2016 dalam majlis yang sama.
3. Penulis buku ini ialah Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
4. Penulis buku ini dianggap sebagai salah seorang daripada 5 tokoh kewangan islam terbaik di dunia.
5. Buku ini ditulis berdasarkan secara langsung penulis yang telah berkecimpung dalam bidang kewangan Islam puluhan tahun lamanya. Buku ini bukan sekadar berlegar-legar di sudut teori semata-mata.
Buku ini saya tidak jual. Namun mereka yang berhasrat untuk memilikinya boleh pergi ke laman web ini iaitu http://shariahminds.com/shop/shariah-minds-1212-detail.